5 Hari Kemudian

5 hari telah berlalu semenjak pengisian yang lalu. Ya… tentu kamu juga melihat. BUDAKHUTAN? benar, itu juga aku. Kenapa ada blog lagi ? Ah… adakah aku punya alasan yang kukuh? Beralih angin barangkali…. Tidak. Cuma mahu sedikit kelainan. Budakhutan, itu lebih kepada aku dan dunia. Perkongsian dan hidup bermadu, pengisian pelbagai warna dan kekurangan aku disitu. Oleh itu… AKUORANG adalah lebih untuk aku…aku sendiri. Kurang bercerita tentang perkembangan yang lain, tetapi lebih berbentuk Jurnal peribadi, berbahasa Melayu aliran utama. Aku cuba sehabis baik untuk berbahasa Melayu Tinggi, itu petikan yang aku belajar dari novelis Bahruddin Bekri.

ADA APA HARI INI ?

PAGI

Seawal jam 4 pagi aku sudah jaga dari tidur. Perut kurang enak. Cuba untuk menahan dan kembali untuk menyambung mimpi. Mengalihkan badan ke kiri, ke kanan, terlentang dan meniarap… semua posisi dicuba. Harus juga bergerak ke ‘bilik keramat’ , melabur seawal itu tidak perlu mengambil tiket giliran atau berbaris panjang seperti bank. Pelaburan pertama selesai dengan sempurna. Sakit? masih senak. Aku cuba abaikan.

Menghadap komputer , aku layari laman budakhutan.com. Alamak! sudah… tak boleh dilayari. Hanya laman sesawang kosong berwarna putih yang tertera tanpa ada sebarang notis. Virus? Cookies? DNS? semuanya berlegar di kepala. Rungsing memikirkannya aku segera mengalihkan domain budakhutan.com dan kembali kepada url (alamat internet) yang asal. budak-hutan2.blogspot.com. Semuanya normal di alamat ini. Berjalan lancar.

Ah! tidak… sekali lagi aku tak tahan. Maaf encik TANDAS kerana mengganggu kamu di awal pagi.

sambung… cuba untuk menyelesaikan masalah domain.

Jam 8, bergerak untuk mengambil Cinta. Aku perlu menghantar dia ke tempat kerja. Sepanjang perjalanan aku senyap, cuma sesekali memberikan balasan dan jawapan apabila ditanya. Mungkin Cinta merajuk dan kecil hati dengan tingkah ku. Oh..maafkan aku. Otakku ligat memikirkan setiap penyelesaian yang mungkin dan aturan langkah yang boleh diambil… dan aku bukan sahaja memikirkan tentang blog itu. Aku juga sentiasa memikirkan tentang kamu…CINTA, AKU dan KAMU.

Selepas menghantar Cinta, aku kembali ke ‘markas’ , berjuang dengan rancangan yang telah aku rangka sepanjang perjalanan. Tekad dan nekad, aku akan hijrahkan juga dia. Untuk itu, aku harus menunggu. Ada kata 24 jam ke 72 jam, tapi ada yang memberi harapan, 6 hingga ke 12 jam, semuanya akan pulih. Aku tunggu untuk itu, kerana selepas itu masih banyak yang harus dilakukan.

Muncul di mukabuku=Facebook , melihat status rakan. Memuat naik gambar. Membalas dan meninggalkan komen.

TENGAH HARI ke PETANG

Awan mendung berarak pantas. Hujan mula turun renyai. Aku bersiap untuk singgah mengambil Cinta kerana aku perlu turun ke kota untuk bertemu dengan ibu yang akan menunggu sesudah habis seminar yang dihadirinya. Cinta juga harus bertemu ibunya yang juga menunggu di kota. Kami sama, punya misi bersama ibu yang tercinta. Selepas itu kami masing-masing bertukar haluan. Misi aku dijalankan dengan penuh jaya. Diakhiri dengan santapan istimewa kegemaran, Sup Daging, Nasi dan Milo Sejuk di Restoran Happy Muslim, Asia City bersama dengan ibu,ayah dan abang. Sedap, tapi tidak boleh selalu diamalkan. Makan daging dengan banyak boleh membawa masalah di kemudian hari.

Selesai, terjumpa kelibat rakan sekerja. Bertegur sapa dan terpaksa meninggalkan mereka. Misi selanjutnya harus dilaksanakan.

oh…tidak semua akan aku ceritakan disini.

MALAM

Sekali lagi membuka Facebook. Memeriksa emel. Menulis dan membalas komen serta email. Melihat lain-lain blog dan web di bawah seliaan, dan akhirnya mengemaskini blog ini. AKUORANG.COM…dan aku sedang menulis. Mungkin nanti akan turun untuk menyokong hiburan Malaysia. Akademi Fantasia 8, sokong Nadira. Juga menyokong Shahir.

Nota:

Penulisan agak panjang. Orang baca? aku tak kisah.

Template harus diubah, mungkin nanti.

Perubahan harus berlaku dan dijadikan kenyataan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *