HARI KE DUA PULUH ENAM | JANUARI 2013

Salam Tahun Baharu saudari blog,

Maaf… lebih dari 30 bulan aku telah meninggalkanmu. Kali terakhir aku mencatat abjad di ruangan ini pada bulan Jun 2010. Sungguh lama. Sungguh banyak perkara telah berlaku. Kehidupan terasa begitu pantas. Tempoh dua tahun enam bulan, aku telah bertukar status… bujang, berkahwin dan menjadi seorang ayah. Alangkah indahnya hidup ini.

BERPINDAH KE TEMPAT KERJA BAHARU

Tahun 2013 adalah detik perubahan penting dalam kerjaya dan perjalanan hidup aku. 23 Disember 2003 dahulu, aku mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam di salah sebuah jabatan kerajaan di Kota Kinabalu. Kini, aku telah berpindah ke tempat kerja baharu. Suasana dan persekitaran kerja yang serba berbeza daripada dahulu. Salah satu daripada perbezaan yang ketara ialah waktu bekerja… dahulu waktu pejabat dan kini mengikut syif kerja. Seronok… setakat ini.

Menyesuaikan diri dengan persekitaran dan rakan kerja baharu bukan perkara yang mudah. Adaptasi harus betul.

Kenapa tinggalkan yang lama? Jawapan ringkas daripada aku, “sudah tiba masa untuk bertukar angin”… atau boleh juga aku sifatkan, mencuba benda baharu. Cabaran! Hidup kena ada kemajuan…

Memang sedih untuk meninggalkan rakan-rakan di tempat lama… tapi pasti akan lebih menyedihkan jika aku membiarkan diri sendiri berada pada graf yang mendatar… statik.

Ya… mulakan langkah. Lonjakan!

KEHIDUPAN?

Bulan Januari ini aku tetapkan sebagai bulan asimilasi dan adaptasi. Mencari rentak.

Usia akan bertukar… digit awal dua akan bertukar kepada tiga, September ini genap tiga dekad menjadi orang.

Misi? Menjadi seorang orang yang lebih dekat dengan Allah… Menjadi seorang yang lebih berjaya.

Klise? itu adalah hakikat.

Wang atau lebih enak disebut ekonomi harus di mantapkan. Harus lebih fokus. Harus lebih berlebih-lebih usaha.

Kerana hidup aku kini bukan sekadar untuk aku seorang.

CATATAN

26-1-2013

Mata aku terasa ‘letih’, bangun seawal jam 5 selepas tidur lebih kurang pukul 2 pagi malam sebelumnya. Ya, memang lewat… kerana faktor ekonomi tadi.

Selesai menunaikan kewajipan, aku bergegas ke Giant Kolombong. Ayah dan ibu pastinya sedang menanti kehadiran aku. Bermula hari ini, pada setiap hari Sabtu, gerai kraftangan yang diusahakan oleh orang tuaku ini akan bertapak di situ. Diselang-seli dengan tamu di KPD, Likas yang akan berlangsung pada hari Ahad setiap dua bulan sekali. Usaha… kerana faktor ekonomi tadi…

Suasana di Tamu Sabtu, Kolombong itu sangat meriah, bayangkan sahaja… di sebelah kanan gerai menjual kucing, di hadapan menjual anjing dan kucing, di kiri… menjual makanan. Pertama kali berjualan di situ, dan masa aku di situ agak singkat kerana perlu pulang untuk bersiap pula ke tempat kerja. Ya… hari ini giliran aku, syif.

Hari ini terasa begitu panjang… aku masih belum pulang ke rumah. Syif belum tamat. Perut mula menyanyi riang.

Nota kaki: Tolong jangan pijak saya… nanti saya mati.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *